url pkr giving

Tarikhnya 7 Mei 2009. Di Ipoh, dekat bangunan dewan undangan negeri (DUN).

Mungkin kesalahan saya ialah memakai baju hitam.

Tanggal tersebut juga menandakan jatuhnya kerajaan negeri Perak pilihan rakyat — iaitu Pakatan dengan diganti BN — sejurus selepas Adun-adun Bota, Behrang, Changkat Jering (ketiga-tiganya PKR) dan Jelapang (DAP) bertindak keluar parti.

Saya dimasukkan ke dalam trak polis yang sesak dan kurang ventilasi (aliran udara). Turut berada di dalam trak ialah Ahli-ahli Parlimen Salahuddin Ayub, Mujahid Yusof Rawa dan Dr Jeyakumar Devaraj.

Kami dibawa ke markas FRU di mana polis telah menahan antara lainnya Ahli-ahli Parlimen Mat Sabu, Zuraida Kamaruddin dan Adun-adun Jenice Lee, Teo Kok Seong, Ng Chin Tsai, Khoo Poay Tiong, dll.

“Also arrested was Malaysiakini columnist and activist Helen Ang.” — boleh baca sini.

PSM ada, DAP tak endahkan kami

Saya masih ingat bagaimana telah diberi makan nasi bungkus oleh polis waktu tengah hari. Saya dilepaskan pada lewat petang. (YB dan VIP diberi keutamaan dan dilepaskan lebih awal kecuali Tian Chua manakala kami orang tak berpangkat adalah lambat sedikit dilayan polis.)

Saras: “Hidup Rakyat!”

Yang menunggu kami keluar selepas disoalsiat (waktu dekat senja) ialah ahli-ahli PSM. Tak nampak pun kelibat DAP sudi menyambut kami meskipun Perak merupakan kubu kuat parti tersebut.

Timbalan pengerusi PSM iaitu M. Sarasvathy yang menunggu di pintu luar markas FRU itu telah memberi saya pelukan walaupun saya tidak dikenalinya.

Orang berbudi kita merasa.

Saya tersentuh hati dengan kesanggupan PSM turun padang menanti kami dibebaskan walhal rakan-rakan blogger Barisan Rakyat (kecuali Del Capo) kebanyakannya sudah dalam perjalanan balik KL.

PSM adalah sebuah parti akar umbi yang prihatin terhadap nasib kaum pekerja dan rakyat marhean serta mengambil berat isu-isu gaji minima serta kepincangan hidup.

Di barisan depan Bersih 2.0

Saya telah menulis pada Julai 7 (dua hari sebelum berlangsungnya Bersih 2.0) tentang Saras dan PSM:

“Saras is a courageous woman who belongs to a legitimate and well-respected political organization committed to enfranchising the poor and marginalised.”

Saras adalah calon PSM kalah bertanding di Jelapang dalam piliharaya umum Mac 2008, kerusi yang dimenangi wakil DAP Hee Yit Foong.

Ngeh Koo Ham, pengerusi DAP Perak

DAP sebenarnya boleh dikira telah hilang kerusi tersebut kerana Hee sekarang seorang Adun ‘bebas’.

Baru-baru ini PSM menyuarakan minat mereka untuk lawan BN di Jelapang.

Pengerusi parti di Perak, Ngeh Koo Ham, dengan keras dan serta-merta menolak cadangan tersebut memandangkan hampir 90% pemilih Jelapang adalah kaum Cina yang didakwanya masih menyokong DAP sungguhpun Hee sering dicemuh sebagai “berpaling tadah”.

Maksudnya kalau pemilih majoriti Cina, calon mesti Cina.

Berdasarkan pola pemikiran sedemikian, orang India tak payahlah bertanding kerana tiada terdapat mana-mana kawasan jua yang majoriti India.

Namun MIC diberi jalan oleh Umno untuk bertanding di DUN Ijok dan kawasan Parlimen Hulu Selangor yang kedua-duanya majoriti Melayu.

Hakikatnya DAP cakap tak serupa bikin dalam mencanangkan ia sebuah parti yang menolak perkauman serta buta warna (kulit).

Pada pilihanraya lepas, Hindraf dan gerakan Makkal Sakti banyak membantu pihak pembangkang meraih undi simpati. Akan tetapi DAP dan sekutu-sekutunya tidak mengenang budi orang India terutamanya P. Uthayakumar.

Baru-baru ini, PSM pula memainkan peranan besar menjayakan Bersih 2.0 — perhimpunan yang kesannya menguntungkan Pakatan Rakyat. Ahli-ahli PSM seramai 30 orang termasuk enam orang yang ditahan dibawah Ordinan Kecemasan rata-rata kaum India kecuali seorang dua.

Apabila kerajaan mahu mengekang Bersih 2.0, orang India PSM dimasukkan lokap. Pada lewat tahun 2007, orang India Hindraf diberkas dan di-ISA.

Sekali lagi nampaknya Pakatan tidak mengenang budi orang India. DAP enggan berkompromi dengan PSM atas kerusi Jelapang di mana Saras siap membuat groundwork manakala Hee Yit Foong sudah lama menghilang entah ke mana.

Comments are closed.


Fatal error: Call to undefined function boposts_show() in /home/humanrig/public_html/wp-content/themes/Master_Human_Rights1/single.php on line 16