Mahkamah KL keluar waran tangkap Uthayakumar(See Antarapos.com)

Mahkamah KL keluar waran tangkap Uthayakumar

pada 29-04-2013 01:04 


 

Post Pic

 

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Hindraf P. Uthayakumar kerana gagal menghadiri perbicaraan yang ditetapkan hari ini bersabit surat hasutan kepada bekas Perdana Menteri United Kingdom, Gordon Brown.
Uthayakumar yang memaklumkan mengenai perkara itu melalui mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata beliau telah menghantar penjamin dan mengemukakan sijil cuti sakit sehingga bertarikh sehingga 17 Mei.
Beliau mendakwa mengalami masalah pinggang dan ketumbuhan kecil di tulang belakang yang mendapat pengesahan dari pakar bedah neurologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Shanmugaraja Paramasvaran.
“Tangkapan dijangka bila-bila masa,” memetik Uthayakumar.
Uthayakumar menghadapi tuduhan pindaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948. Jika didapati bersalah, beliau boleh didenda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan kesalahan yang berikutnya boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama lima tahun.
Pada November 2007, Uthayakumar telah menghantar sepucuk surat kepada Brown untuk campur tangan terhadap tuduhan penghapusan etnik India yang didalangi oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
Surat itu antara lain mendakwa 100 orang masyarakat India dibunuh dalam insiden ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Kampung Medan selain purata seorang bangsa India dibunuh setiap minggu.
Beliau meminta Britain untuk mengadakan resolusi tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk ‘penghapusan etnik’ di Malaysia dan permohonan untuk membawa Malaysia ke Mahkamah Antarabangsa bersabit jenayah terhadap minoriti India.